Salah satu sesi yang saya adakan dengan pelajar sekolah rendah dalam seminar Bijak Belajar yang saya kendalikan ialah mengajak pelajar (Tahun 4, 5 atau 6) membina wawasan. Saya mengajak mereka mencatat nama sekolah menengah (terbaik yang menjadi pilihan mereka kelak) serta nama kolej atau universiti pilihan masing-masing. Selain daripada itu saya juga mengajak mereka memikirkan kerjaya masa depan.
Mengenai pemilihan kolej / universiti, ternyata sekali maklumat atau pengetahuan ramai pelajar di hampir kesemua sekolah yang saya melawat amat cetek sekali. Secara umumnya rata-rata di antara mereka tidak boleh memberi tahu maksud akronim bagi UPSI, UTP, USIM, UNITEN, UMS, UNIMAS, malah UiTM dan lain-lain universiti sepeti itu. Mereka mungkin tahu UiTM tetapi tidak tahu ia merujuk kepada apa ! Selalunya yang lazimnya dapat diteka ialah UM, USM dan UKM, yakni universiti tradisonal negara ini.
Mengenai pemilihan sekolah pula, saya sering bangkitkan nama-nama sekolah ternama di negeri sendiri. Ini termasuk MRSM, SBP, SMKA serta sekolah-sekolah premier negara ini. Sekali lagi, ramai juga pelajar tidak mampu memberi tahu secara khusus nama MRSM / SBP / SMKA setempat kecuali satu barangkali.
Saya amat berharap agar pihak sekolah memperkenalkan institusi pengajian ini (sekolah ternama selain IPT di negara sendiri) kepada pelajar-pelajar mereka, bukan sekadar memberi penerangan yang berbentuk data dan fakta. Sekarang ini dengan adanya internet di semua sekolah di mana pelbagai imej dan gambar selain info yang boleh diakses, macam-macam cara boleh dilakukan untuk menggalakkan pelajar mengumpul sendiri maklumat ini mungkin menerusi projek, pertandingan antara kelas dsb. Selain itu pelajar sepatutnya diajak melawat ke sekolah dan kolej/universiti berkenaan.
Masalahnya, kalau pelajar sekolah rendah di luar Lembah Klang melawat Kuala Lumpur, destinasi utamanya mesti termasuk Zoo Negara sebagai contoh. Baiklah, itu pun satu proses pembelajaran. Saya ingin mencadangkan agar pelajar dibawa melawat universiti-universiti tertentu, malah memberi peluang kepada mereka memasuki dewan kuliah di mana P & P sedang berlangsung. Sudah semestinya ia memerlukan perancangan yang lebih teliti dengan universiti berkenaan. Sebagai bekas Profesor Madya, saya tidak keberatan membenarkan pelawat (pelajar sekolah, khususnya sekolah rendah) memasuki dewan kuliah sewaktu saya mengajar asalkan (a) ada ruang, (b) sekejab sahaja, (c) ikut peraturan yang ditetapkan dan (d) dirunding / minta izin terlebih dahulu ... kerana saya yakin, impaknya amat besar kepada pelajar berkenaan.
Bawa mereka memasuki setiap tingkat perpustakaan. Saya masih ingat pengalaman saya membawa abang ipar saya (seorang pesawah padi) melawat perpustakaan utama USM. Dia amat terkejut kerana "keterlaluan banyaknya" buku-buku. Hairan, ajaib .. baginya. Selain daripada itu, biar pelajar-pelajar ini rasakan kehidupan abang-kakak di kolej / asrama / desasiswa universiti. Sudah pasti ia akan memberi impak yang besar dalam membina wawasan pelajar berkenaan.
Saya masih teringat semasa saya belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar; kami (yang menghuni di hostel sekolah) sering mendapat peluang ke stesyen keretapi menghantar abang-abang senior (bekas penghuni asrama sekolah) ke Kuala Lumpur untuk menaiki keretapi ke universiti. Ketika itu Universiti Malayalah pilihan utama kebanyakan pelajar. Keretapilah pangangkutan utama ketika itu. Setiap kali pulang balik ke asrama menghantar abang-abang ke universiti, bukan main membara lagi semangat untuk bersama ke universiti selepas tamat persekolahan kelak.
Cuba bayangkan, itu baru mendapat peluang menghantar abang-abang senior menaiki keretapi ke universiti. Cuba bayangkan impak yang jauh lebih besar sekiranya membawa pelajar ke universiti dan merasai sendiri kehidupan pelajar universiti. Pasti teruja. Cikgu, saya harap anda dapat lakukan sesuatu untuk membuka mata dan minda pelajar agar membina cita impian yang lebih tinggi. Bila minda terbuka, lebih mudah kerja cikgunanti. Ibu dan ayah juga perlu berperanan ke arah itu. Ke mana anda bawa anak anda semasa cuti baru-baru ini ? Apa pandangan anda ?
Monday, March 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment