(Artikel ini diemail ke Berita Harian pada hari Jumaat 12 Mac ... sehingga kini tidak disiarkan)
Apabila Menteri Pelajaran mengumumkan tahun lalu bahawa mulai tahun ini (SPM 2010) pelajar hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran, saya terkejut, sedih dan termenung sekejap. Rasional saya - mengapa mesti kita hadkan pelajar yang hebat mahukan jadi pelajar cemerlang. Mengapa kita perlu bataskan pelajar yang mahu mengasah potensi mereka. Kita mahukan 10 NorAmalina, 10 Azali Azlan, 10 Nik Madihah dan ratusan lagi pelajar hebat kerana mereka boleh dan sememangnya telah berupaya memberi inspirasi kepada ramai pelajar lain. Nor Amalina yang membuka laluan ini dalam tahun 2005. Kini beliau hebat di luar negara, mengambil ijazah berkembar, membuat kerja amal di Afrika, menunjuk contoh yang cukup menggalakkan. Nik Madihah menunjuk kepada kita pelajar yang miskin (saya terharu melihat rumahnya) boleh jadi cemerlang. Kita minta insan istimewa di masa hadapan memecah rekod Azali Azlan memdapat lebih dari 21A. Jika hujahnya mengatakan pelajar berkenaan tidak libatkan diri dalam ko-kurikulum tetapi hanya "ulat buku", ia jauh dari kebenaran kerana majoriti (saya tahun bukan semua) amat aktif. Sesetengahnya bukan sahaja hebat dari segi akademik, tetapi melibatkan diri dalam aktiviti pelajar peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kalau mahu bicarakan mereka tidak melibatkan diri langsung, maka ratusan ribu pelajar yang bukan sahaja akademiknya terkebelakang, juga langsung tidak aktif. Ukuran itu ternyata tidak boleh dipakai.
Kebetulan, semasa pengumuman itu dibuat saya dan isteri dalam siri lawatan ke rumah-rumah pelajar cemerlang seluruh negara. Kami telah ke rumah Azali Azlan di Tikam Batu, Kedah (21A), Nik Madihah, Kota Bharu (20A), Amalina, Kota Tinggi (17A1), Norlaila Najwa, Gelang Patah (16A1), Nadiah Amira, Rengit (18A), Siti Fatimah, Kota Bharu (18A), Quek Khai Ren, Mentakap (16A1), G.Muneswaran, Sungai Petani (15A1), Aiman dan Iman - pelajar kmbar dari Kulim (kedua-dua dapat 11A1) dan juga ke rumah Pak Sulaiman (Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan) dan isteri, Mak Esah (Tokoh Ibu Mithali peringkat nasional). Tujuan saya dan isteri melawat keluarga berkenaan bukan untuk bertemu dengan pelajar-pelajar berkenaan (w/pun amat gembira sekiranya dapat berjumpa dengan mereka - hanya sempat bertemu Azali, Madihah, Nadiah dan Quek Khai Ren) tetapi menemuramah ibu bapa mereka kerana ingin mengetahui rahsia mendidik anak dengan hebat. InsyaAllah, saya dan isteri sedang siapkan buku "Rahsia Kejayaan Ibu Bapa Terbilang" sebagai susulan kepada buku saya "Sentuhan Ibu Bapa" (2008, Ameen Publication) dan dua buah baru saya "Rahsia Kejayaan Pelajar Terbilang Negara" (2010, Ameen Publication) dan buku Anakku Dapat Semua "A" (2010, Telaga Biru)
Malah saya teringat peristiwa di mana adik kepada pelajar cemerlang, Norlaila Najwa (SPM 16A1) yang belajar di SMK Gelang Patah telah pun membuat keputusan serta mula berusaha untuk ambil 14 mata pelajaran. Setelah diperkenalkan dasar baru, beliau dengan rasa sayu dan sedih terpaksa menggugurkan empat subjek. Saya kurang pasti pula status pendaftaran mata pelajarannya sekarang.
Ibu bapa pelajar terbilang negara di atas yang sempat kami timbulkan isu mengambil lebih dari 10 subjek rata-rata AMAT tidak bersetuju dengan tindakan Menteri memeperkenalkan peraturan baru itu. Setakat ini ia langsung tidak mengganggu sistem persekolahan di negara ini. Malah saya difahamkan yang mengambil "banyak subjek" tidak sampai 1% pun.
Saya amat berharap dasar ini dikaji semula kerana pertama sekali apabila kita mengamalkan sijil terbuka, maka mengapa harus kita "menutup"nya pula ? Keduanya, pelajar seperti Nor Amalina, Azali, Nadia Amira, Siti Fatimah, Nik Madihah dan tahun ini Habibah boleh menjadi inspirasi kepada ramai pelajar di seluruh negara. Mereka diberi peluang menjelajah ke seluruh negara berkongsi inspirasi. Malah menurut Habibah Hanan pelajar yang mendapat 15A berkata bahawa salah satu petua kejayaannya ialah dengan mengikut jejak langkah pelajar-pelajar terbilang negara sebelumnya. Katanya. "saya jadikan Nik Madihah idola saya untuk berjaya".
Tanpa "personaliti" seperti Madihah, Azali Azlan, Amalina, Nadia, Siti Fatimah, saya khuatir nanti pelajar akan mengambil penyanyi, pelakon dan lain-lain seliberiti hiburan sebagai idola mereka. Memang ia sudah pun berlaku. Rata-rata pelajar lebih kenal penyanyi dan pelakon tertentu dari pelajar cemerlang tadi. Setiap kali saya letakkan gambar Mila, Stacy, Nabil, Sharifah Amani sebagai contoh digukan dengan gambar Azali Azlan, Nor Amalina, Nik Madihah, Nadiah Amira dan Siti Fatimah, maka hampir kesemua mengenali penyanyi dan pelakon tadi tetapi hanya segelintir yang tahu siapa pelajar terbilang negara itu.
Kita akan terlepas peluang yang cukup besar untuk mengemudikan balik ramaja dan pelajar kita yang rata-rata perlukan bimbingan dan inspirasi seperti pelajar tadi jika dasar ini diteruskan. Oleh kerana jumlah "A" sebelum ini menjangkau berbelas-belas, malah 21 dan 20, maka pelajar kita tidak mungkin teruja dengan pelajar terbaik yang men dapat 10A+. Bayangkan kita membawa pelajar 10A+ ini membuat "roadshow" melawat sekolah-sekolah ke seluruh negara untuk memberi ceramah. Pasti ia tidak semeriah dan sehebat dengan kita membawa pelajar-pelajar hebat sebelumnya. Kurang teruja. Kurang uummph ! Sudah pasti akan kurang sambutan. Sudah pasti pelajar lebih berminat untuk mendengar ceramah motivasi dari Habibah dibandingkan dengan Gladys Tan walaupun kedua-duanya pelajar hebat.
Ramai juga PELAJAR dan IBU BAPA MELAYU, khususnya di kawasan pinggir kota dan luar bandar menghadapi masalah "inferiority complex" dalam erti kata mereka menganggap pelajar Cina lebih hebat daripada pelajar Melayu. Pandagan serupa ini mesti diperbetulkan. Sememangnya betul, dalam seminar saya dengan pelajar sekolah rendah, saya sengaja bertanya kepada mereka "Betul tak pelajar Cina lebih hebat dari pelajar Melayu?" Walaupun ada yang berkata tidak, tetapi jauh lebih ramai berkata "Ya". Lagi kedalam (kawasan luar bandar) sesebuah sekolah lagi besar peratusan kepercayaan bahawa pelajar Cina lebih hebat daripada pelajar Melayu. Saya timbulkan isu ini langsung tidak berniat menimbulkan isu perkauman, jauh sekali. Saya mahu betulkan persepsi mereka bahawa "kepandaian berkaitan dengan bangsa dan keturunan".
Saya mahu tekankan kepada mereka walau apa pun bangsa dan keturunan seseorang, semua orang berhak cemerlang. Kalau pelajar Cina rajin, dia cemerlang.Kalau pelajar Melayu rajin dia juga cemerlang. Kalau pelajar Melayu malas dan Cina rajin, maka pelajar Cinalah cemerlang. Kalau pelajar Melayu rajin dan pelajar Cinan dan India malas, maka pelajar Melayulah cemerlang dan seterusnya begitulah. Kecemerlangan bukan berkaitan dengan warna kulit.
Saya bukan timbulkan isu itu sahaja, malah saya juga kaitkan dengan faktor latar belakang keluarga dan sekolah mana yang dipelajari. Semua bertujuan mengatakan bukan bangsa dan keturunan, bukan latar belakang keluarga dan bukan sekolah mana dipelajari, tetapi ... usaha diri sendiri yang menentukan kejayaan.
Berbalik kepada persoalan "Habibah dan Gladys". Menurut huraian Kementerian Pelajaran, khususnya, khususnya Ketua Pengarah Tan Sri Alimuddin Mihd Dom, pelajar terbaik tidak lagi dipilih berdasarkan jumlah A+ tetapi kualiti markah mereka selaras dengan usaha untuk menggalakkan pelajar mengambil jumlah mata pelajaran yang lebih kecil (dan bukan sebanyak yang boleh). Dinyatakan lagi bahawa kaedah bagini memudahkan kementerian mengenalpasti pelajar cemerlang. Di sini saya berbeza pendapat. Jumlah pelajar yang memperolehi belasan A jauh lebih kecil dari jumlah pelajar yang memperolehi 10A. Bukankah ia membuat kerja mengenalpasti pelajar cemerlang jauh lebih mudah. Malah dengan sistem ICT yang canggih kerja mengenalpasti pelajar cemerlang langsung bukan masalah.
Saya harap isu ini dibincang semula secara terbuka di kalangan pengetua. Apakah sebagai contoh PKPSM (Persidangan Kebangsaan Pengetua Semenanjung Malaysia), cendikiawan negara, profesor dan lain-lain pihak yang tidak berkepentingan politik diajak berbincang ? Masalah kita ialah jarang orang ini dan lain-lain pihak yang boleh memberi input demi kebaikan negara (tanpa agenda tersembunyi) dibawa bersama untuk memberi pendapat sebelum sesuatu dasar baru diperkenalkan. PPSMI sebagai contoh diperkenalkan semata-mata kerana seorang Perdana Menteri mahukannya dilaksanakan. Projek besar, pembiayaan besar, kesan besar, impak besar sepatutnya tidak diperkenalkan secara terburu-buru. Saya cukup yakin, YAB Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri masih ada ruang untuk memikirkan semula dasar ini demi kepentingan nasional.
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
sebenarnya benda ini kita perlu kaji semula. hal ini demikian kerana. apa yang kita mahu ialah A yang benar2 berkualiti. tidak adil bagi pelajar yang bersusah payah mendapat markah 100 tetapi pelajar yang mendapat belasan A tetapi markah hanyalah 80-85 sahaja. di sini kita lebih melihat kepada KUALITI. Menurut kementerian pelajaran Gladys telah mendapat markah 100 bagi tujuh subjek daripada 10 subjek yang diambilnya. tidak hairanlah bagaimana dia boleh mendapat pelajar cemerlang. kerana kita mahukan pelajar berKUALITI bukan hanya sekadar A+ yang biasa sahaja.
Post a Comment